Skip to main content

Bola Sepak

UEL: Nottingham Forest singkir Fenerbahce sebelum mara ke pusingan 16

UEL: Nottingham Forest singkir Fenerbahce sebelum mara ke pusingan 16

Nottingham Forest mara ke pusingan 16 Liga Europa selepas menewaskan Fenerbahce secara agregat 4-2 dalam aksi yang penuh debaran di City Ground.

Meskipun membawa kelebihan selesa 3-0 dari perlawanan pertama, Forest hampir dihukum akibat persembahan longlai dan gugup apabila Kerem Akturkoglu meledak dua gol buat pelawat, termasuk satu sepakan penalti pada awal babak kedua.

Advertisement

Gol pertama Akturkoglu pada minit ke-22 hasil serangan balas pantas mencetuskan kegusaran dalam kalangan penyokong tuan rumah. Forest yang sebelum ini tampak yakin mula hilang rentak dan sukar mengawal tempo permainan.

Situasi menjadi lebih tegang sejurus rehat apabila Jair Cunha menghadiahkan penalti hanya 25 saat selepas sepak mula babak kedua, selepas menjatuhkan Akturkoglu di dalam kotak penalti. Penyerang itu tidak mensia-siakan peluang untuk merapatkan kedudukan agregat dan menghidupkan semula peluang Fenerbahce.

Pengurus Forest, Vitor Pereira, membuat enam pertukaran dalam kesebelasan utama susulan kekalahan 0-1 kepada Liverpool hujung minggu lalu, dengan mengambil kira aksi penting Liga Perdana Inggeris menentang Brighton & Hove Albion.

Keputusan berani itu hampir memakan diri, namun pertukaran separuh masa membuahkan hasil apabila Callum Hudson-Odoi menjaringkan gol penting pada minit ke-68 menerusi rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Tarik Cetin. Gol tersebut memastikan Forest kembali mengawal agregat dan meredakan tekanan.

Omari Hutchinson hampir menambah jaringan pada lewat permainan, namun percubaannya berjaya dinafikan Cetin.

Pereira mengakui pasukannya beraksi dalam tekanan tinggi, dia berkata “Kami bergerak ke hadapan -- saya gembira kerana kami bermain di bawah tekanan. Ia seperti sebuah thriller."

Beliau menegaskan keputusan melakukan enam perubahan bukan hanya memikirkan aksi Eropah semata-mata, sebaliknya mengambil kira kedudukan Forest yang masih belum selesa dalam saingan Premier League.

“Kami tidak selesa dalam carta liga dan perlu mengelak situasi sukar. Pada masa sama, kami ada cita-cita dalam Liga Europa,” tambahnya.

Forest bakal berdepan sama ada FC Midtjylland -- yang pernah menewaskan mereka pada Oktober lalu -- atau Real Betis, pasukan yang seri 2-2 dengan Forest di Sepanyol dalam fasa liga.

Sementara itu, jurulatih Fenerbahce, Domenico Tedesco, tetap berbangga dengan karakter yang dipamerkan anak buahnya walaupun tersingkir.

“Kami kehilangan kelayakan di tempat sendiri. Mereka menukar jurulatih beberapa hari sebelum itu dan beraksi cemerlang di stadium kami. Kami perlu terima hakikat tersingkir, tetapi sekurang-kurangnya dengan kepala tegak,” katanya.

Walaupun prestasi Forest jauh daripada meyakinkan, keputusan tetap memihak kepada mereka. Dalam bola sepak Eropah, kadangkala yang penting bukanlah gaya tetapi kemampuan untuk bertahan ketika tekanan memuncak.

Must Watch Video