Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

UCL Wanita: Arsenal ke separuh akhir singkir Chelsea

arsenal chelsea

Juara bertahan, Arsenal, mengesahkan tempat dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Wanita dengan keelebihan agregat 3-2 ke atas Chelsea, walaupun tewas 0-1 di Stamford Bridge dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir awal pagi tadi.

Menyedari mereka perlu mengejar kedudukan, Chelsea -- yang pengurusnya, Sonia Bompastor, dibuang padang pada penghujung perlawanan -- memulakan aksi dengan rentak yang sangat pantas.

Advertisement

Bagaimanapun, Arsenal dapat mengganggu rentak mereka, dan pasukan tuan rumah itu gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang separuh masa pertama ketika pelawat sengaja melambatkan permainan dalam setiap situasi bola mati.

Arsenal mula menguasai perlawanan dalam separuh masa kedua tetapi segala drama berlaku pada minit-minit akhir apabila Chelsea melancarkan serangan bertali arus untuk cuba bangkit.

Pemain simpanan Arsenal, Stina Blackstenius, menanduk masuk hantaran rakan senegaranya dari Sweden, Smilla Holmberg, pada minit ke-80 tetapi gol itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Chelsea kembali menyerang dan rembatan pertahanan, Veerle Buurman, terkena tiang gol, manakala tandukan pemain tengah, Sjoeke Nuesken, dinafikan oleh tindakan tangkas penjaga gol Arsenal, Daphne van Domselaar.

Pemain Arsenal, Beth Mead, kemudian melakukan rembatan pada masa kecederaan, yang turut terkena tiang, sebelum Nuesken akhirnya menjaringkan gol pada minit ke-94.

Ketika perlawanan mencapai kemuncak ketegangan, pemain Arsenal, Katie McCabe, tidak dikenakan hukuman walaupun menarik rambut Alyssa Thompson semasa serangan balas. Ini mencetuskan kemarahan Bompastor sehingga beliau diusir dari bangku simpanan selepas menerima kad kuning kedua kerana protesnya.

Arsenal akan berdepan sama ada Olympique Lyonnais atau VfL Wolfsburg dalam dua penentuan ke final, masing-masing pada hujung bulan ini dan awal bulan depan.

 

 

 

Must Watch Video