Kontroversi berkenaan perlawanan minggu pertama Liga Super membabitkan tuan rumah, Negeri Sembilan, melayani kunjungan Kuala Lumpur (KL) City yang tidak dapat dilangsungkan semalam semakin mencuri perhatian di media sosial.
Pelbagai dakwaan timbul di kalangan peminat membincangkan spekulasi yang semakin hangat.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan rasmi semalam menerima permohonan rasmi daripada The City Boys berikutan hampir separuh pemain kelab itu disahkan mengalami penyakit influenza dengan simpton demam, batuk, selsema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL.
Namun, tular ketika ini berkenaan isu pendaftaran pemain skuad Warga Kota itu apabila laman CMS-FAM difahamkan hanya menyenaraikan 12 pemain dalam sistem tersebut bagi musim yang baru bermula ini.
Nama pemain baharu yang ditandatangani seperti Ahmad Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad dan beberapa tonggak lain turut tiada dalam senarai tersebut.
Untuk rekod, dalam laporan minggu lalu mengatakan KL City telah bebas daripada sekatan perpindahan selepas berjaya menyelesaikan segala tunggakan beberapa bekas pemain import dan pegawai kelab.
Betul la siakk, aku check kat https://t.co/ei5ylwkgrB, KL City memang ada 12 player je. Kah kah.
Semua player baru dia takde dalam list. Maknanya still kena transfer ban dgn fifa la ni lepas tu MFL boleh percaya transfer ban diorang tu dah lifted 😂— bert (@modsya) August 22, 2026
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dalam ciapannya di X semalam juga difahamkan tidak mempunyai pemain mencukupi untuk turun berdepan Hobin Jang Hobin di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sementara itu, skuad Jang mengakui kecewa dengan perkara tersebut sambil menegaskan persiapan penganjuran daripada segi logistik, keselamatan serta pasukan perubatan telah menelan kos perbelanjaan yang tinggi.
Justeru pihak pengurusan menuntut supaya kemenangan percuma diberikan.
Persoalan bakal diketahui dalam masa terdekat apabila MFL akan membawa perkara ini ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan mengenai status perlawanan itu dalam masa terdekat.