'Memberikan peluang buat pelumba berbasikal trek bersaing'
Itu antara harapan dan peluang yang ingin diberikan Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Imran Tan Sri Tuanku Ja'afar, kepada pelumba berbasikal trek negara menjelang Kejohanan YSD Track Series pusingan 1-3 akan membuka tirai di Velodrom Nasional, Nilai bermula 8 hingga 10 Mei ini.
Advertisement
Saingan pusingan 4 dan 5 pula akan berlangsung daripada 13 hingga 14 Jun depan sebelum pusingan 6 dan 7 mengambil tempat pada 4 hingga 5 Julai depan.
Perlumbaan Grand Finale pula akan berlangsung pada 28 November depan.
"Kami meneruskan perkara yang telah kami terapkan sejak tiga tahun lalu, memberikan peluang buat pelumba berbasikal trek bersaing dan kini di peringkat antarabangsa.
"Sekarang berdepan lebih ramai pesaing di peringkat antarabangsa, ini inovasi untuk meningkatkan cabaran.
"Terdapat banyak kejohanan besar tahun ini dengan Sukan Komanwel pada Julai, Sukan Asia pada September di Jepun, jadi penting agar adanya Latihan dan kejohanan sebelum mereka bersaing membawa pingat emas di peringkat tertinggi." katanya.
Sementara itu, Pengarah teknikal YSD Track Series, John Beasley, pula berkongsikan sebanyak tujuh negara dengan seramai 130 atlet akan mengambil bahagian dalam kejohanan edisi ketiga ini.
"Lebih banyak negara terlibat, kami bermula dengan dua negara dan kini tujuh negara akan menyertai dengan 130 atlet. Jadi, kami mahu melihat generasi seterusnya bersaing dan bakat muda Malaysia untuk mempamerkan aksi terbaik.
"Kami berharap kejohanan ini dapat memberikan mereka peluang untuk melihat mereka berada di tahap mana dengan kerja keras mereka, semua orang yang menyaksikan mahu melihat hasil, jadi ia adalah tugasan saya." tambahnya.