Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus Muhammad Rom, mengesahkan pihak pengurusan kelab kini dalam fasa akhir menilai calon ketua jurulatih skuad Jang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Jelasnya, seramai tujuh individu terdiri daripada lima calon import serta dua calon tempatan telah disenarai pendek dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan depan.
Advertisement
Tambahnya, K. Rajan yang bertindak selaku pemangku ketua jurulatih Negeri Sembilan ketika ini, akan kekal berada dalam barisan kejurulatihan kelab.
"K. Rajan ada berada dalam pelan jangka masa panjang kami. Dia mempunyai Lesen Pro-A malah sebagai anak temnpatan.
"Sudah tentu Negeri Sembilan mahu lebihkan anak tempatan tapi kami berasakan dia memerlukan lebih masa lagi.
"Dia akan berada dalam barisan kejurulatihan tahun depan dan kami berkemungkinan akan mempunyai jurulatih baru sama ada tempatan atau import. Kami sedang menilai calon-calon ini dan akan diketahui pada bulan depan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.