Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 hari ini meluncurkan logo, maskot dan tema rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 sebagai identiti temasya yang bakal berlangsung di Malaysia pada tahun depan.
Acara bersejarah ini telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohamed Taufiq Johari bertempat di IOI City Mall, Putrajaya.
Majlis peluncuran itu menyaksikan maskot rasmi, TUAH menjadi identiti temasya untuk mencerminkan semangat kebersamaan dengan reka bentuk diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati selain menggambarkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran, positif, berdaya saing dan sentiasa menghargai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
Nama TUAH dipilih kerana membawa makna kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai melalui usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan.
Demi memupuk semangat kebersamaan, tema Raikan Perpaduan atau "Celebrating Unity" dipilih sebagai tunjang kepada keseluruhan identiti Malaysia 2027 kerana perpaduan merupakan kekuatan sebenar Malaysia dan ASEAN.
Logo rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 direka dengan elemen yang menggambarkan aspirasi Malaysia menyatukan ASEAN melalui semangat kesukanan. Setiap elemen dalam logo mempunyai simboliknya yang tersendiri dan saling melengkapi bagi membentuk sebuah identiti visual yang moden, dinamik dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa.
Yang Berhormat Dr. Mohamed Taufiq Johari dalam ucapannya berkata, “Tema kali ini akan menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan, dan memiliki kesinambungan masa depan sukan rantau ini. Tema ini juga akan menjadi seruan dan pencetus semangat kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam mencapai kejayaan.”
“Logo yang direka melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya, dan keharmonian rakyat di Asia Tenggara, yang diadun dengan identiti Malaysia yang progresif manakala maskot bukan sekadar identiti visual, malah melambangkan keberanian, semangat kesukanan yang dinamik, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berteraskan teknologi”.
Peluncuran identiti rasmi ini menandakan perjalanan Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh komitmen negara dalam menganjurkan Sukan SEA pada 18 hingga 29 September 2027 dan Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Oktober 2027 secara inklusif, mampan dan bertaraf antarabangsa.