Perkembangan pesat Revolusi Industri 4.0 dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI telah mengubah landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia termasuk dalam bidang sains sukan. Pengajian sains sukan kini tidak lagi tertumpu kepada aspek kecergasan fizikal sematamata, malah melibatkan penggunaan teknologi, data analisis, biomekanik, rehabilitasi digital dan inovasi sukan pintar. Oleh itu, transformasi pengajian sains sukan melalui integrasi STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics), TVET (Technical and Vocational Education and Training) serta teknologi AI amat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan lebih relevan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan.
Perkembangan pesat Revolusi Industri 4.0 dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) telah mengubah landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia termasuk dalam bidang sains sukan. Pengajian sains sukan kini tidak lagi tertumpu kepada aspek kecergasan fizikal sematamata, malah melibatkan penggunaan teknologi, data analisis, biomekanik, rehabilitasi digital dan inovasi sukan pintar. Oleh itu, transformasi pengajian sains sukan melalui integrasi STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics), TVET (Technical and Vocational Education and Training) serta teknologi AI amat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan lebih relevan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan.
Selain itu, pendekatan TVET dalam bidang sains sukan perlu diperkasakan bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan kebolehpasaran tinggi. TVET memberi penekanan kepada latihan praktikal, hands-on dan kompetensi industri yang amat diperlukan dalam sektor sukan masa kini. Pelajar bukan sahaja mempelajari teori, malah dilatih mengendalikan peralatan rehabilitasi, sistem analisis kecergasan, teknologi sukan pintar dan pengurusan fasiliti sukan moden. Pendekatan ini dapat mengurangkan jurang antara institusi pendidikan dan keperluan sebenar industri sukan negara.
Dalam era AI, penggunaan teknologi pintar dalam sains sukan semakin berkembang dengan pesat. Teknologi AI boleh digunakan untuk menganalisis corak pergerakan atlet, mengesan risiko kecederaan, merancang program latihan individu dan meningkatkan prestasi atlet secara saintifik. Contohnya, penggunaan motion capture system, machine learning dan aplikasi AI coaching mampu membantu jurulatih membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data. Oleh itu, graduan sains sukan perlu didedahkan dengan kemahiran digital dan AI supaya mereka tidak ketinggalan dalam dunia pekerjaan yang semakin berasaskan teknologi.
Pelaksanaan transformasi ini boleh dilakukan melalui penstrukturan semula kurikulum pengajian sains sukan di universiti dan institusi TVET. Kurikulum moden perlu ada subjek berkaitan data analytics, sports technology, artificial intelligence in sports, coding asas, wearable devices dan digital rehabilitation. Selain itu, kaedah pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) dan pembelajaran berasaskan industri perlu diperluaskan supaya pelajar memperoleh pengalaman dunia sebenar sebelum memasuki alam pekerjaan. Pendekatan ini akan melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mahir dalam aplikasi teknologi semasa.
Kerjasama strategik antara universiti, industri sukan, syarikat teknologi dan agensi kerajaan juga penting bagi memastikan pelaksanaan transformasi ini berjaya. Industri boleh menyediakan latihan industri, pensijilan profesional, teknologi terkini dan peluang penyelidikan kepada pelajar. Sebagai contoh, kerjasama dengan syarikat pembangunan wearable technology, pusat rehabilitasi sukan dan organisasi sukan profesional dapat memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai teknologi sebenar yang digunakan di lapangan. Hubungan ini turut membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian.
Di samping itu, pensyarah dan tenaga pengajar juga perlu diberikan latihan berkaitan STEM, TVET dan AI supaya proses pengajaran lebih efektif dan selari dengan perkembangan teknologi semasa. Program latihan profesional, kursus pensijilan dan kolaborasi penyelidikan antarabangsa perlu diperbanyakkan bagi meningkatkan kompetensi tenaga pengajar. Pensyarah yang celik teknologi akan lebih mudah membimbing pelajar menggunakan aplikasi digital, perisian analisis data serta teknologi inovasi sukan secara berkesan dalam pembelajaran.
Kesimpulannya, transformasi pengajian sains sukan Malaysia melalui integrasi STEM, TVET dan teknologi AI merupakan satu langkah strategik bagi melahirkan graduan masa hadapan yang kompeten, inovatif dan berdaya saing di peringkat global. Pelaksanaan yang sistematik melalui penambahbaikan kurikulum, kerjasama industri, penggunaan teknologi pintar dan pembangunan tenaga pengajar akan memastikan bidang sains sukan terus relevan dan lestari dalam era AI. Dengan pendekatan ini, Malaysia bukan sahaja mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi, malah berpotensi menjadi peneraju inovasi teknologi sukan di rantau Asia pada masa hadapan.