Bekas juara dunia dua divisyen, Zolani Tete, meninggal dunia pada usia 38 tahun selepas ditembak dalam satu serangan hendap di luar kediamannya di Mdantsane, Afrika Selatan.
Menurut polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila Tete sedang menunggu pintu pagar rumahnya dibuka sebelum didatangi dua suspek bertopeng.
Tete cuba menyelamatkan diri dengan memandu masuk ke dalam kawasan rumah, namun gagal menyelamatkan nyawanya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang wanita berusia 27 tahun yang bersamanya turut terkena beberapa das tembakan dan kini menerima rawatan di hospital.
Polis Afrika Selatan sudah membuka siasatan kes bunuh, namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Tete mengharungi karier profesional selama 16 tahun dengan hanya empat kekalahan.
Petinju kelahiran Afrika Selatan itu meraih kejuaraan dunia pertama pada 2007 sebelum menambah satu lagi gelaran dunia dalam divisyen bantamweight.
Tete dinobatkan sebagai juara dunia WBO bantamweight pada 2017 selepas memenangi gelaran interim, sekali gus melengkapkan statusnya sebagai juara dunia dua divisyen.
Namanya turut tercatat dalam sejarah apabila menewaskan Siboniso Gonya hanya dalam 11 saat pada 2017, yang ketika itu menjadi kemenangan terpantas dalam pertarungan perebutan gelaran dunia.
Tete kali terakhir beraksi pada 2019 sebelum kariernya terhenti susulan kekalahan kepada John Riel Casimero.
Dia kemudiannya dikenakan penggantungan tiga tahun selepas gagal ujian doping pada 2023.
Penggantungan itu baru sahaja berakhir dan Tete dilaporkan merancang untuk kembali ke gelanggang tahun ini.
Namun, impian tersebut berakhir dengan tragis selepas bekas juara dunia itu menjadi mangsa serangan bersenjata di hadapan rumahnya.