Pasukan hoki kebangsaan Pakistan berdepan detik memalukan di Canberra pada khamis lalu, apabila terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di tepi jalan selepas mendapati tiada tempahan hotel dibuat untuk mereka.
Insiden itu mendedahkan isu pentadbiran dan kewangan yang berterusan dalam Persekutuan Hoki Pakistan (PHF).
The Australia Today melaporkan pasukan itu berada di Australia untuk menghadapi pusingan kedua FIH Pro League 2026 di Hobart dan dimaklumkan akan menginap di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Canberra dengan segala bayaran dilaporkan telah diuruskan terlebih dahulu oleh Lembaga Sukan Pakistan (PSB) dan PHF.
Advertisement
Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh sebaik sahaja pasukan itu tiba. Dilaporkan bahawa selepas menempuh perjalanan yang meletihkan selama hampir 24 jam dari Lahore, pemain dan pegawai dikejutkan dengan berita bahawa tiada sebarang tempahan berlaku.
Ketua jurulatih, Tahir Zaman, bergelut untuk menghubungi pegawai di Pakistan disebabkan perbezaan waktu, menyebabkan pasukan itu terbiar tanpa tempat penginapan.
“Selama lima hingga enam jam, pemain tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa menghabiskan masa di jalanan di Canberra,” kata laporan itu.
Sebagai rekod, Pakistan dan Malaysia akan beraksi dalam saingan Kumpulan B, pusingan kelayakan Piala Dunia bersama Austria dan China di Mesir awal bulan depan.