Skip to main content

Tenis

Tiada pemain patut berdepan situasi seperti ini!

Panna Udvardy

Pemain tenis Hungary, Panna Udvardy, mendedahkan dia menerima mesej ugutan “mengganggu”, termasuk gambar sepucuk pistol, yang memberi amaran keluarganya akan dicederakan jika dia tidak kalah dalam satu perlawanan tenis.

Udvardy, yang kini berada di ranking ke-95 dunia, berkata mesej berkenaan diterimanya menerusi telefon bimbitnya daripada nombor tidak dikenali bersama gambar ahli keluarganya, pada malam Khamis.

Advertisement

“Saya diberitahu jika saya tidak kalah dalam perlawanan hari ini, mereka akan mencederakan ahli keluarga saya.

“Mereka juga berkata mereka tahu di mana keluarga saya tinggal, kereta yang mereka pandu dan mempunyai nombor telefon mereka.

“Malah mereka menghantar gambar ahli keluarga saya dengan gambar sepucuk pistol.

“Sejujurnya, ia amat menakutkan untuk menerima mesej seperti ini,” kata Udvardy.

Udvardy turut memaklumkan dia telah membuat laporan polis di Turki.

“Saya mahu jelaskan ini bukan perkara normal.

“Kita tidak seharusnya menganggap situasi seperti ini sebagai sesuatu yang biasa dalam sukan.

“Tiada pemain patut berdepan situasi seperti ini,” tambahnya.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata pihak konsulat di Turki menghantar tiga pegawai polis untuk mengawasi perlawanan suku akhir yang disertainya dalam kejohanan Persatuan Tenis Wanita (WTA 125) Antalya semalam, dengan polis turut meningkatkan kawalan keselamatan di rumah ibu bapa dan neneknya.

Udvardy, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, bagaimanapun tewas 7-6, 7-5 kepada pemain Ukraine, Anhelina Kalinina.

Menerusi hantaran di Instagram, Udvardy turut mendakwa dia dimaklumkan bahawa ugutan serupa pernah dibuat kepada beberapa pemain lain.

Perkara itu berlaku hanya beberapa hari selepas pemain tenis Itali, Lucrezia Stefanini, mendedahkan dia turut menerima ugutan sebelum perlawanan kelayakan kejohanan Indian Wells.

Difahamkan pihak WTA menyedari tentang beberapa pemain lain yang turut terkesan dengan insiden seperti itu dan sedang menyiasat bagaimana maklumat peribadi pemain boleh diperoleh oleh pihak tidak dikenali.

Must Watch Video