Penyerang serba boleh, Akhimullah Anuar Esook, sedia mempertahan posisi selaku penyerang skuad hoki padang negara.
Ia selepas Akhimullah Anuar cemerlang membantu skuad hoki 5 sepasukan dalam Sukan SEA Thailand minggu lalu.
Advertisement
Impak sentuhannya menjadi salah satu faktor kejayaan skuad hoki 5s negara meraih pingat emas dan lebih manis, ia emas pertama kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2025.
Pasca kempen temasya dwitahunan itu, Akhimullah Anuar kembali ke pangkuan The Speedy Tigers dan menyedari persaingan sengit perebutan posisi jentera serangan di samping Faizal Saari, Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri dan Ashran Hamsani.
"Saya akan merebut tempat untuk capai sasaran (yang saya idamkan).
"Kami mempunyai persaingan sihat merebut tempat di bahagian serangan.
"Jadi saya perlu tunjukkan kemampuan dan dapatkan kepercayaan jurulatih," kata Pemain Terbaik Hoki 5s 2024 itu.