Selepas Indonesia, Singapura dan Vietnam sahkan kemaraan ke pentas akhir lebih awal — kini giliran Thailand ikut jejak sama untuk beradu kekuatan dengan pasukan terbaik rantau Asia selepas kejayaan menidakkan cabaran Turkmenistan dalam aksi terakhir saingan kelayakan Kumpulan D di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Sedar kelebihan memihak mereka selaku pendahulu carta - Thailand tidak menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan cukup padu daripada Suphanan Bureerat untuk kem tuan rumah di depan 1-0.
Advertisement
Sebelum situasi tersebut kembali seimbang selepas pelawat berjaya memastikan laluan mereka ke Arab Saudi terus bernyawa menerusi jaringan penyamaan disempurnakan pemain muda Turkmenistan - Teýmur Çaryýew hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Situasi tersebut belum menggoncang semangat luar biasa Gajah Perang yang mahukan kemaraan ke pentas akhir buat kali kesembilan dengan Manuel Bihr muncul wira pasukan menanduk masuk jaringan kemenangan kira-kira satu minit menuju wisel penamat.
Kemenangan cukup dramatik buat Thailand ini menyaksikan negara jiran kita ini muncul negara Asia Tenggara keempat layak ke pentas akhir, sekali gus berpeluang untuk menyaingi pencapaian terbaik mereka di Piala Asia - tamat di kedudukan ketiga ketika edisi 1972.