JANTUNG penulis berdegup kencang. Bahang di bilik kecil di Istora Senayan sehangat api.
Penulis bersama-sama pasukan negara beserta pegawai-pegawai tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terperangkap di tengah-tengah bangunan itu.
Peristiwa yang berlaku pada 1994 masih segar-bugar dalam ingatan.
Ditugaskan membuat liputan pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta waktu itu, penulis lebih banyak memainkan peranan pendokong kepada Norbakti Alias, wartawan utama badminton untuk akhbar Berita Harian.
Penulis buat side story Piala Thomas dan meliput Piala Uber, manakala Razali Yahya yang ketika itu wakil Berita Harian di Jakarta, menjadi ghost writer untuk kolum Icuk Sugiarto.
Dalam penampilan sulung penulis di luar negara selaku wartawan sukan, tidak disangka-sangka berdepan dengan cabaran membuat laporan final yang tidak selesai dek kekacauan penonton.
Terperangkap di tengah-tengah haru-biru itu, penulis mengekori pasukan ke bilik persalinan dan seterusnya bilik rehat. Mujur wajah Nusantara penulis memudahkan keadaan.
Hampir dua jam kami terperangkap dalam bilik rehat itu.
"Tunggu keadaan reda" nasihat pakar motivasi Rahim Dahalan (Datuk – Allahyarham), lebih dikenali dengan jolokan Rahim King, melihatkan penulis terpinga-pinga menunggu deadline untuk kirim berita.
Sambil itu, penonton mengetuk pintu dan melemparkan kata-kata kesat ke arah pemain negara. Bilik rehat itu hanya terpisah dengan panel dinding cermin plastik yang tidak mudah pecah.
Presiden BAM, Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan (Allahyarham), Setiausaha Kehormat merangkap pengurus pasukan, Datuk Punch Gunalan (mendiang), Rashid Sidek (Datuk), Yap Kim Hock-Tan Kim Her serta beberapa wartawan lain menampakkan riak kerisauan masing-masing.
Sebelum itu, penonton melemparkan botol plastik ke arah pemain dan pegawai Malaysia, mengakibatkan sisa dua perlawanan berikutnya tidak dapat dilanjutkan, seterusnya Indonesia diisytiharkan menang kerana sudah mendahului 3-0.
Insiden tercetus apabila sebelum pertandingan bermula, pemain dan pegawai Malaysia yang keluar dari bilik persalinan menuju ke gelanggang dilempar dengan botol air galian dan kayu. Mereka turut diludah dan dilontar tisu berisi hingus. Laluan dari bilik persalinan ke gelanggang pula tidak dikawal rapi sehingga penonton Indonesia seolah-olah diizinkan untuk mengganggu kem negara.
Maklumat diterima ada pegawai pertahanan dari Kedutaan Malaysia yang mengiringi pemain dan pegawai negara pada perlawanan akhir itu menyebut pengadil kejohanan, Roger Johansson, serta beberapa pegawai lain mencadangkan supaya Malaysia membatalkan penyertaan dalam final berdasarkan perlakuan tidak senonoh penonton itu.
Bagaimanapun, Gunalan, yang terkenal dengan jambul rambutnya, mahukan pemain meneruskan cabaran dalam suasana tegang itu.
Malaysia akhirnya tewas 3-0 dan Johansson memutuskan tidak meneruskan dua perlawanan lagi apabila penonton menyerbu gelanggang.
Pemain perseorangan ketiga, Ong Ewe Hock, turut menjadi mangsa balingan kayu bendera sebaik perlawanannya dengan Ardy Wiranata berakhir, manakala dua jurulatih, Chen Changjie dan Yang Yang, dibaling dengan botol air galian. Gunalan pula diludah penyokong ketika keadaan tidak terkawal lagi.
Itulah akibatnya apabila penganjur membenarkan 12,000 penonton memasuki stadium yang hanya boleh memuatkan 10,000 orang. Yang peliknya penonton dibenarkan membawa masuk pelbagai barangan, termasuk botol minuman dan kayu tiang bendera.
Dalam tempoh satu jam, tampil Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali (Tun), dikawal ketat dan diiringi pembesar Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF – kini BWF), muncul di bilik persalinan bersama jawatankuasa penganjur, mengalungkan pingat perak di leher semua pemain negara.
“Kita sudah buat yang terbaik,” kata Dr Siti Hasmah kepada seluruh anggota skuad negara. Beliau tiba di Jakarta sembilan hari terdahulu selepas menolak peluang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun) untuk lawatan rasmi ke China ketika itu.
Dalam kekalutan itu, Dr Siti Hasmah tenang mententeramkan kontinjen negara dan meminta penganjur menyediakan kawalan keselamatan apabila pemain menaiki bas.
Sebagai peminat setia badminton, Dr Siti Hasmah menjadi saksi kepada kejayaan skuad negara merangkul Piala Thomas pada 1992, selain mengajak rakyat Malaysia menyumbang RM1 seorang untuk mengisi kantung Yayasan Badminton Malaysia (YBM) pada Disember tahun sama sebelum melancarkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada April 1993.
Beliau kemudian dilantik secara rasmi sebagai penaung BAM pada pemilihan badan induk itu di Kuching pada 18 Julai, 1993. Kerusi penaung BAM kosong sejak bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Sultan Abdul Hamid, mangkat pada Disember 1990.
Selaku penaung, Dr Siti Hasmah menjadi saksi kepada insiden Jakarta 1994, pelancaran 1,001 gelanggang rakyat Yayasan Badminton Malaysia (YBM), polemik BAM dengan Nusa Mahsuri dan kemunculan bakat baharu seperti Hafiz Hashim dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebelum melepaskan jawatan itu pada 2007.
Kecintaan mendalam Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah terhadap badminton tergambar apabila beliau sanggup meredah lautan manusia yang bermusuhan dengan skuad negara untuk mengalungkan pingat naib juara ke leher Razif Sidek dan rakan pada malam 21 Mei 1994 di perut Istora Senayan, disaksikan sendiri oleh penulis.
Salam takziah kepada Dr Mahathir seisi keluarga. Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan menempatkannya dalam kalangan para solehah di taman-taman syurga.