Kecoh di media sosial apabila didakwa tular surat daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status penggantungan tujuh pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran pemalsuan dokumen tahun lalu.
Difahamkan, hukuman penggantungan 12 bulan itu telah berakhir dan mereka dibenarkan menyertai semula mana-mana aktiviti bola sepak bermula hari ini, 1 November 2026.
Sekiranya maklumat itu benar, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano boleh kembali terlibat bersama kelab masing-masing menghadapi kejohanan dan liga domestik.
Lebih menghangatkan, perkongsian di Facebook Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini menyaksikan kelibat Irazabal dan Figueiredo mengikuti Harimau Selatan ke Korea Selatan menghadapi Jeonbuk Hyundai Motors dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Selasa ini.
Irazabal, Figueiredo, Hevel dan Palmero menanti masa untuk membuat kemunculan semula beraksi bersama JDT dalam Liga Malaysia.
Mereka diberi penangguhan (stay of execution) untuk kembali beraksi buat sementara waktu awal tahun ini sebelum Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan hukuman di mana penggantungan disesuaikan kepada perlawanan rasmi dan sedikit dilonggarkan berbanding hukuman asal membenarkan latihan bersama pasukan.
Setakat ini, belum ada pengumuman, pengesahan atau kenyataan rasmi daripada MFL mahupun kelab berkaitan setakat ini.