Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.
Pelantikan Tan Cheng Hoe dibuat selepas mengambil kira pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak negara.
Malah, FAM yakin pengalaman, kepakaran dan pengetahuan beliau mengenai bola sepak tempatan akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya.
Tan Cheng Hoe merupakan antara jurulatih tempatan berpengalaman di negara ini. Beliau memulakan karier kejurulatihan sebagai Penolong Jurulatih skuad B-20 kebangsaan dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum mengisi jawatan Penolong Jurulatih skuad B-23 kebangsaan mulai 2009 hingga 2010.
Beliau turut menggalas tugas sebagai Penolong Jurulatih Pasukan Kebangsaan dari 2009 hingga 2013 dan kembali berkhidmat pada tahun 2017. Tan Cheng Hoe kemudiannya secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan mulai Disember 2017 hingga Disember 2021.
Antara kejayaan manis yang diraih beliau adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku Ketua Jurulatih.
Di peringkat liga domestik, beliau mencipta kejayaan gemilang apabila membantu Kedah menjuarai Liga Premier 2015, seterusnya memenangi Piala Malaysia 2016 serta Piala Sumbangsih 2017. Di bawah bimbingannya, Kedah turut muncul sebagai antara pasukan paling konsisten di pentas Liga Malaysia.
Selain mencipta nama bersama Kedah, Tan Cheng Hoe turut pernah membimbing Selangor pada tahun 2022 hingga 2024 sebelum berkelana ke Thailand apabila menerajui kelab Police Tero FC.
Pada April 2025, jurulatih berusia 58 tahun kelahiran Alor Star, Kedah ini kembali berkhidmat di FAM apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.
FAM berharap pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan akan kembali memberi suntikan baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di peringkat Asia dan antarabangsa.