Satu lagi emas! Satu lagi tiket Olimpik!
S. Sivasangari tampil penuh bergaya untuk menewaskan wakil India, Anahat Singh, dalam final perseorangan wanita skuasy Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menghadiahkan pingat emas keenam buat kontinjen Malaysia!
Lebih daripada sekadar emas, kejayaan itu turut membuka laluan automatik buat Sivasangari ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Sivasangari tidak membuang masa untuk menunjukkan siapa penguasa gelanggang apabila mengawal permainan sejak set pertama.
Dia menutup set pembukaan 11-4, sebelum mengulangi keputusan sama dalam set kedua untuk berada hanya satu set daripada emas.
Anahat cuba bangkit pada set ketiga, namun Sivasangari kekal tenang dan akhirnya menyempurnakan kemenangan 11-7.
3-0! Emas milik Malaysia!
Kejayaan itu melengkapkan hari gemilang skuasy negara selepas Ng Eain Yow terlebih dahulu menjuarai acara perseorangan lelaki.
Justeru, Malaysia kini membawa pulang dua emas daripada dua acara perseorangan skuasy -- Eain Yow dalam kategori lelaki dan Sivasangari dalam kategori wanita.
Lebih manis, emas Sivasangari menjadi emas keenam kontinjen Malaysia, sekali gus memastikan sasaran yang ditetapkan untuk Aichi-Nagoya berjaya direalisasikan.

Dan kini, destinasi seterusnya sudah menanti.
Los Angeles 2028.
Skuasy bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik dan Sivasangari kini sudah memiliki tiket automatik untuk merebut peluang bersejarah itu.
Daripada Aichi-Nagoya ke Los Angeles.
Sivasangari bukan sekadar juara Sukan Asia – dia kini membawa impian Olimpik Malaysia ke pentas dunia!