Penyerang sensasi Negeri Sembilan, A. Selvan, tidak akan bersama pasukan itu musim depan, pada ketika spekulasi kian kuat mengaitkan dirinya dengan pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor.
Perkara itu disahkan sendiri pemain berusia 25 tahun berkenaan sewaktu ditemu bual Astro Arena sebentar tadi.
"Saya rasa sedih, sembilan tahun di sini (Negeri Sembilan) dan selepas ini saya akan keluar," katanya selepas membantu Negeri Sembilan menewaskan Kelantan The Real Warrior (TRW) 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Paroi.
"Mungkin saya akan menghadapi cabaran baru musim depan, pasukan baru tetapi sasarannya tetap sama."
Dalam perlawanan itu, Selvan diberikan penghormatan memakai lilitan lengan, di mana Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Khuzaimi Piee pada minit ketujuh sebelum Mio Tsuneyasu menggandakan kelebihan itu berselang lima minit.
Kelantan kemudian merapatkan jurang menerusi jaringan Ashraf Yassin pada minit ke-28 tetapi tiada pertambahan jaringan selepas itu.
The Jangs menamatkan musim di tempat ketujuh, manakala TRW pula di tempat ke-12 daripada 13 pasukan.