Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2026 selepas menyingkirkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, sebentar tadi.
Perlawanan sengit yang berlangsung selama 60 minit itu berakhir dalam aksi rubber set, 21-16,20-22,21-14 yang menjadi milik wakil negara di ranking kedua dunia itu di Arena Utilita, Birmingham.
Advertisement
Set pertama menyaksikan Man-Tee yang turun selaku pilihan keenam kejohanan itu memberikan saingan sengit sebelum terpaksa akur tewas 16-21.
Man-Tee kembali memperkemaskan corak permainan mereka dalam awal set kedua, meskipun Aaron-Wooi Yik cuba menoktahkan permainan namun terpaksa akur diheret ke set penentuan apabila tewas 20-22.
Aaron-Wooi Yik memanfaatkan pengalaman mereka selaku juara dunia 2022 itu untuk meneruskan cabaran ke separuh akhir dengan kemenangan 21-14 dalam set terakhir.
Untuk rekod, berdasarkan rekod pertemuan menyaksikan Aaron-Wooi Yik meneruskan rekod baik mereka berdepan Man-Tee selepas memenangi lima perlawanan daripada lapan aksi sebelum ini.