Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo. Kini, seorang lagi dalam perjalanan?
Giliran Rodrigo Holgado pula bakal menyertai kancah Liga Malaysia (Liga-M)? Perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, memaparkan sebuah kelab Liga Super berminat menandatangani pemain kelahiran Argentina itu bagi memperkuat pasukan musim ini.
Difahamkan, wakil Brunei, DPMM dalam laman rasminya menyatakan keinginan untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 31 tahun itu dari Coquimbo Unido.
Namun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan jendela pertama perpindahan telah ditutup pada 3 September lalu.
Adakah Holgado akan diumumkan secara rasmi pada jendela kedua kelak?
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak namun khabar angin ini mula menghangatkan arena bola sepak negara.
Dia bersama enam lagi pemain terpalit dengan kes pemalsuan dokumen mewakili Harimau Malaya sebelum ini meneruskan penggantungan tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ia, selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan dan mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan meskipun dibenarkan beraksi seketika pada awal tahun sebelum meneruskan hukuman tersebut.
Jangkaan kesemua pemain terbabit termasuk Imanol Machuca dan bintang LaLiga, Facundo Garces, kembali beraksi pada November ini.