Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2026–27 pada 16 Januari 2027.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dicapai hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Bagi Penggal 2025-29 semalam berikutan TM Stadium Nasional tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti sedang dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.
Berdasarkan pengesahan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf itu dijangka siap pada Mei 2027.
Disebabkan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih SSI sebagai venue final Piala FA dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir berprestij itu, termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium yang merangkumi pentas utama, corporate suite, akses ke stadium, aspek keselamatan serta operasi produksi siaran langsung.
"Dengan berkapasiti 35109 penonton serta fasiliti lengkap dan terbaik menjadikan SSI adalah venue pilihan selepas penutupan TM Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini.
"Malah reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan ini, di mana stadium itu pernah menganjurkan perlawanan melibatkan Harimau Malaya, antaranya ketika menentang Palestin bagi aksi persahabatan tier 1 pada 8 September 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025," kata kenyataan itu
Untuk rekod, SSI juga pernah menjadi venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023, yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada 22 Julai 2023.