West Ham United mengambil keputusan memecat pengurus, Nuno Espírito Santo selepas permulaan hambar kempen Liga Kejuaraan Inggeris (Championship) musim ini, termasuk kekalahan 1-3 kepada West Bromwich Albion di laman sendiri, Sabtu lalu.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi kelab pada Selasa, selepas barisan pengurusan mengadakan penilaian menyeluruh terhadap prestasi pasukan sejak permulaan musim.
Kekalahan di Stadium London itu menyaksikan West Ham mengalami dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri selepas turut tewas 2-3 kepada Southampton.
Lebih mengecewakan, keputusan berkenaan menyaksikan The Hammers kini berada di tangga kelapan liga selepas mengharungi 13 perlawanan, sekali gus menambah tekanan terhadap Nuno yang sebelum ini diharapkan mampu membimbing pasukan kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas tersingkir pada penghujung musim lalu.
Dalam kenyataan rasmi, West Ham memaklumkan keputusan pertukaran pengurus dibuat bagi memastikan sasaran dan hala tuju kelab kekal pada landasan yang ditetapkan.
Penolong ketua jurulatih, Rui Pedro Silva dan jurulatih penjaga gol, Rui Barbosa turut meninggalkan kelab bersama Nuno.
Sementara itu, bekas kapten West Ham, Mark Noble akan mengambil alih tugas sementara bersama Steve Potts dan Gerard Prenderville menjelang aksi menentang Cardiff City, Rabu ini.
Nuno meninggalkan West Ham selepas hanya 13 perlawanan dalam kempen Championship, dengan misi membawa kelab kembali ke saingan elit bola sepak England kini berdepan cabaran lebih besar.
Kekalahan kepada West Brom menjadi titik akhir buat pengendali dari Portugal itu, yang gagal mengubah momentum pasukan selepas dua keputusan mengecewakan di hadapan penyokong sendiri.
BREAKING: West Ham United have sacked Nuno Espírito Santo after West Ham's 3-1 home defeat against West Bromwich Albion at the weekend 🚨 https://t.co/ZNHQLQQPY2
— Sky Sports News (@SkySportsNews) November 3, 2026
Sumber: Sky Sports