Bapa transformasi sepak takraw Malaysia, Datuk Wira Sumali Reduan, kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden 1 Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) merangkap naib presiden Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF) menang tanpa bertanding di samping Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr. Srihassak Arrirachakaran, sebagai timbalan presiden 2 selepas Sekretariat ASTAF yang bermesyuarat di Bangkok, Thailand, hari ini.
Sementara itu, Datuk Halim Kader kekal presiden tanpa bertanding selepas menerima satu pencalonan bagi jawatan itu.
Halim menegaskan bahawa keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuhkan hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), sekali gus mempercepat usaha memenuhi keperluan pengiktirafan dan membuka laluan penyertaan sepak takraw dalam Sukan Olimpik.