Jaguh badminton beregu campuran negara, Chen Tan Jie-Toh Ee Wei, mencipta detik gemilang apabila masing-masing ditabal selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025.
Kejayaan juara dunia tahun lalu itu turut mencipta sejarah baharu ASN kerana ia adalah kali pertama dua atlet daripada acara campuran diberi penghormatan memenangi dua anugerah utama.
Pemenang empat anugerah utama itu menerima piala pusingan, trofi dan hadiah wang tunai RM20,000 setiap seorang.
Diperkenalkan sejak tahun 1966, Anugerah Sukan Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai pencapaian cemerlang atlet, jurulatih, pegawai dan organisasi sukan yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Anugerah Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan 2025 menjadi milik beregu campuran negara - Chen Tang Jie & Toh Ee Wei! ๐๐ป๐
More on Nadi Arena 6.30PM@ASTROARENA pic.twitter.com/yYzXw78lqIโ Ainul Abd Rouf (@ainulameerul) May 19, 2026
Tan Jie mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu Si Shin Peng (wushu), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling), Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat) serta Abdul Aziz Ahmad (bina badan) manakala Ee Wei menewaskan Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling), Emma Firyana Saroji (lawn bowls) serta dua atlet wushu negara, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee.
Atlet para berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin, dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, anugerah menjadi milik atlet para renang negara, Lim Carmen.
Dalam pada itu, pasukan sepak takraw negara dinobatkan sebagai Pasukan Lelaki Kebangsaan, manakala pasukan wushu negara yang dibarisi Tan Cheong Min, Pang Pui Yee dan Lee Jia Rong meraih gelaran Pasukan Wanita Kebangsaan.
Ahmad Jais Baharun melengkapkan hari gemilang sukan sepaktakraw apabila memenangi Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan sementara Nor Hamizah Abu Hassan dari sukan pencak silat dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan.