“Terima kasih TMJ" -- Hafizh Syahrin dedikasi kejayaan pertahan gelaran ASB1000 Kejuaraan FIM Motosikal Asia ARRC 2026 kepada Tunku Mahkota Ismail sebagai 'leader' JDT Racing Team.
Hafizh sah dinobat sebagai juara keseluruhan musim ini lebih awal walaupun menamatkan perlumbaan kedua di tempat kedua di Litar Antarabangsa Sepang hari ini -- berbaki pusingan terakhir ARRC yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.
Selepas ungguli perlumbaan pertama pusingan kelima ARRC pada Sabtu, Hafizh memulakan perlumbaan kedua di petak keempat.
Dia tiada masalah untuk lolos ke kelompok pendahulu yang diterajui pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat pada peringkat awal sebelum dikejar pelumba Jepun, Keito Abe dan pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Zaqhwan Zaidi.
Hafizh berjaya memintas keduanya sebelum mengejar Kaito Toba yang merampas kedudukan pendahulu untuk pastikan dia meraih kemenangan pertama ARRC.
Tempat kedua sudah cukup buat Hafizh untuk pastikan JDT Racing Team raih kegembiraan berganda!
Selepas mencipta sejarah muncul juara keseluruhan pasukan kategori ASB1000 buat kali pertama dalam ARRC pada Sabtu, hari ini Hafizh melengkapkan cerita gemilang JDT Racing Team dengan kejuaraan kali kedua berturut-turut -- menang 9 daripada 10 perlumbaan ARRC 2026.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat khasnya 'leader' kami, Tunku Ismail, Bos yang mempercayai saya tiga tahun ini. Untuk tahun ketiga ini kami melakukan beberapa perubahan buat diri saya sendiri dan juga pasukan.
"Walaupun perlumbaan tadi bukan mudah, namun di pertengahan perlumbaan saya memperkemas tunggangan. Saya tidak perlu menang perlumbaan ini, saya hanya perlu berada di hadapan Abe. Dan itu yang saya lakukan.
"Terima kasih buat Malaysia dan juga penyokong JDT -- tidak lupa juga buat Farres Putra", Kata Hafizh kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam
🚨Championes, El Pescao! Hafizh Syahrin pertahan kejuaraan ASB1000 berbaki satu perlumbaan ARRC 2026. 🏆🏍️💨💨@ASTROARENA pic.twitter.com/QajzfuJcRd
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) September 6, 2026