Terengganu menjadi negeri kunjungan hormat ketiga delegasi Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Selangor 2026 untuk menyampaikan jemputan rasmi penganjuran sukan kebangsaan dwitahunan itu yang akan berlangsung di Selangor dari 14 hingga 25 Ogos 2026.
Delegasinya yang diketuai oleh Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sekretariat Datuk Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor En Mohamad Nizam Marjugi.
Advertisement
Dalam pertemuan itu, Najwan turut menyerahkan surat tanda terima kasih dengan pengesahan penyertaan kepada Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.
Turut hadir ialah Datuk Haji Rosli Latif, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan) merangkap ketua kontinjen Negeri Terengganu dan En. Ahmad Shahrizal Yahya Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Ia menjadi sebahagian daripada tradisi dan formalisasi setiap kali penganjuran Sukma diadakan dengan mengadakan lawatan dan kunjungan hormat kepada negeri-negeri yang akan mengambil bahagian.

Mohd Najwan dalam ucapannya turut memberikan taklimat ringkas mengenai perkembangan persediaan tuan rumah sambil menekan usaha kerjasama dan bantuan yang sebaiknya akan diberikan kepada kontinjen Terengganu terutama dalam pengurusan penginapan atlet-atlet yang bertanding kelak.
Terengganu menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya tiga terbaik keseluruhan pada temasya itu dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta untuk persiapan.
Lebih 500 atlet disasarkan menyertai 35 daripada 37 jenis sukan.
Ini berlandaskan kepada prestasi dan pencapaian cemerlang atlet Terengganu dalam Sukan SEA 2025 dan Sukan Para ASEAN 2025, yang menyumbang pingat dalam pelbagai disiplin.