Skip to main content

Sukan Lain

Terengganu Aquathlon 2026 edisi pertama buka ruang bakat muda gabung renang dan larian

Terengganu Aquathlon edisi pertama buka ruang bakat muda gabung renang dan larian

Dari air terus ke daratan — itulah cabaran ditempuhi kira-kira 200 peserta pada edisi sulung Terengganu Aquathlon di The Penyu Camp Site, Kuala Nerus.

Bukan sekadar menguji keupayaan berenang, peserta turut perlu mengerah tenaga untuk berlari, menjadikan penganjuran kali pertama ini medan unik buat bakat muda menguji kemampuan dalam dua disiplin sukan dalam satu acara.

Lebih membanggakan, saingan sulung anjuran Persatuan Akuatik Kuala Nerus itu turut menarik penyertaan dari tujuh negeri, sekali gus memberi petunjuk awal bahawa acara berkenaan mempunyai potensi untuk berkembang ke peringkat kebangsaan.

Presiden Persatuan Akuatik Kuala Nerus, Ahmad Amri Abdullah, berkata idea penganjuran mula dicetuskan sejak Mac lalu menerusi beberapa siri perbincangan dan sesi percambahan idea bersama jawatankuasa, yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurutnya, objektif utama adalah menyediakan ruang kepada kanak-kanak dan atlet muda yang mempunyai latar belakang renang untuk merasai pengalaman berbeza dengan menggabungkan renang dan larian.

“Kami bermula pada bulan Mac untuk sesi-sesi perbincangan, brainstorming dan mengumpulkan idea daripada komiti kami yang mana sebahagian besar daripada UMT.

“Kami cuba bincang untuk merancang satu aktiviti supaya ramai budak-budak kita yang berenang ini menikmati suasana acara dua disiplin iaitu berenang dan berlari.”

Bagi edisi pertama, jumlah 200 peserta dianggap bersesuaian dengan kapasiti penganjur dan lokasi pertandingan.

Namun, keadaan cuaca yang baik serta sambutan menggalakkan memberi keyakinan bahawa jumlah peserta lebih besar mampu ditampung pada penganjuran akan datang.

“200 peserta ini sesuai dengan kapasiti kekuatan kami yang ada dan juga tempat ini. Tapi saya rasa alhamdulillah dengan cuaca yang elok hari ini, kalau lebih daripada 200 orang pun datang, insya-Allah kami boleh.”

Terengganu Aquathlon edisi sulung turut menyaksikan penyertaan dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ahmad Amri menyifatkan perjalanan keseluruhan acara berlangsung lancar apabila semua kategori dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Saya berasakan perjalanan acara cukup lancar dengan cuaca yang menyebelahi kita. Semua kategori dapat dilaksanakan mengikut tetapan waktu.”

Amri turut berharap penyertaan dari tujuh negeri itu dapat membantu usaha persatuan mendapatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

“Alhamdulillah, insya-Allah kita akan capai pengiktirafan kebangsaan kerana untuk pengetahuan semua, hari ini ada tujuh negeri yang terlibat.”

Menariknya, kategori umur 10 hingga 12 tahun dilihat menjadi antara kelompok yang paling mendapat sambutan.

Perkara itu memberi gambaran awal kepada penganjur mengenai potensi perkembangan sukan berkenaan dalam kalangan generasi muda.

Sebaliknya, penyertaan kategori terbuka berusia 18 tahun ke atas masih belum begitu memberangsangkan, sesuatu yang dianggap normal memandangkan ini merupakan edisi pertama.

Ahmad Amri berkata pihaknya sudah mempunyai beberapa strategi untuk menarik lebih ramai peserta kategori terbuka pada masa akan datang.

“Untuk kategori open, 18 tahun dan ke atas, mungkin edisi pertama ini tidak begitu banyak penyertaan sebab orang belum tahu.

“Jadi, kami ada beberapa strategi nanti untuk kita libatkan lebih ramai.”

Dengan 200 peserta dan wakil dari tujuh negeri pada edisi pertama, Terengganu Aquathlon kini mempunyai asas untuk berkembang daripada sebuah acara baharu kepada platform pencarian dan pembangunan bakat muda dalam sukan multisukan.

Penganjuran Aquathlon ini mendapat persetujuan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (KBS) yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Asmadi bin Mohamad.

Beliau turut menyatakan dana yang diberikan dijangka bakal dipertingkat bagi penganjuran edisi akan datang.

Kredit Imej: Lensa FiMir

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement