Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Perancis apabila mengatasi gandingan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, dalam aksi separuh akhir di Arena Grand Paris sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kedua, Pearly dan Thinaah mempamerkan penguasaan penuh dalam set pertama sebelum mencatatkan kemenangan 21-17.
Bagaimanapun, mereka ketinggalan jauh pada awal set kedua sehingga pada satu ketika berada di kedudukan 3-12 tetapi sedikit demi sedikit mereka mula mengejar kedudukan sehingga menyamakan kedudukan 18-18 sebelum memenangi set berkenaan 22-20 selepas secara keseluruhan bertarung selama 47 minit.
Menanti mereka dalam penentuan gelaran esok ialah pemenang di antara pilihan utama dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, dan beregu pilihan kelima dari Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum.