Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis apabila mengatasi pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui, di Arena Grand Paris sebentar tadi.
Pang Ron dan Pei Jing menguasai permainan sejak permulaan set pertama dan hanya sekali berada di belakang lawan ketika kedudukan 5-6 untuk mudah memenangi set berkenaan 21-13.
Bagaimanapun, situasi itu diterbalikkan lawan dalam set berikutnya untuk pasangan negara itu akur dengan kekalahan 13-21, sekali gus terpaksa beraksi dalam set ketiga.
Biarpun diberikan tentangan hebat dalam set penentuan itu, Pang Ron dan Pei Jing mula mendapatkan momentum selepas mengikat kedudukan 12-12 untuk mengesahkan tiket ke suku akhir dengan kemenangan 21-17 selepas secara keseluruhan bertarung selama 51 minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke separuh akhir esok ialah pasangan Jerman, Marvin Seidel-Nguyen Thuc Phuong, yang mengejutkan beregu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.