Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Perseorangan lelaki negara berdepan tekanan tinggi -- Rashid Sidek

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

badminton

Bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek, melihat Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu depan sebagai pentas penting untuk menilai prospek semasa badminton negara.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini dengan status juara dunia 2024, serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, sebagai naib juara dunia berada di landasan tepat berdasarkan momentum cemerlang mereka ketika ini.

Advertisement

"Prestasi kem negara pada tahun lepas secara keseluruhannya membanggakan, kita ada juara dunia (beregu campuran) dan beregu wanita juga memuaskan.

"Yang nak dititik-beratkan adalah perseorangan lelaki (berhubung) prestasi yang kurang memuaskan.

"Saya harap dalam Terbuka Malaysia kali ini, pemain-pemain kita boleh menyerlah," katanya.

Mengulas desas-desus rombakan panel kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikaitkan dengan Datuk Tey Seu Bok bakal diterajui perseorangan lelaki, sementara Yeoh Kay Bin memperkuatkan pelapis dan Kenneth Jonassen pula fokus mengemudi perseorangan wanita, Rashid menegaskan perkara itu wajar diterima dengan hati terbuka.

Jika ia benar berlaku, barisan jurulatih ini perlu diberi masa mencukupi untuk mempamerkan sentuhan magis masing-masing.

Tambahnya, Terbuka Malaysia juga menjadi medan ujian utama buat Jonassen kerana setelah hampir setahun bersama BAM, tekanan sememangnya wujud, namun dia perlu kekal serius dan fokus bagi membimbing pemain-pemain negara mencipta sesuatu di laman sendiri.

"Sebelum ini Jonassen hanya jaga bahagian lelaki, ini perkara baru baginya jadi kena beri dia peluang.

"Selepas setahun, peminat pastinya ingin melihat pembaharuan dan peningkatan daripada perseorangan lelaki.

"Memang kali ini perseorangan lelaki berdepan tekanan tinggi," katanya. 
 

Must Watch Video