Cabaran beregu campuran negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia berakhir di peringkat suku akhir apabila gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tewas kepada pasangan berpengalaman dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.
Tang Jie dan Ee Wei berada di kedudukan mengejar pada awal set pertama dan mereka pada satu ketika jauh ketinggalan 5-12.
Advertisement
Meskipun cuba mengejar kedudukan di angka 17-19, mereka bagaimanapun melepaskan dua mata terakhir untuk akur dengan kekalahan 17-21.
Bagaimanapun, rentak sebenar mula dipamerkan pilihan keempat kejohanan itu dalam set berikutnya, di mana selepas mengikat kedudukan 4-4, mereka tidak pernah ketinggalan untuk seterusnya mengheret permainan ke set penentuan hasil kemenangan 21-17.
Tang Jie dan Ee Wei sekali lagi berdepan kesukaran pada awal set ketiga untuk ketinggalan 7-15 dan selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam tujuh minit, mereka akur tersingkir dengan kekalahan 10-21.