Beregu lelaki meningkat naik negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, kandas dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia apabila tewas kepada gandingan pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, di Arena Axiata sebentar tadi.
Gandingan negara itu tewas kesemua tiga pertemuan lalu secara set langsung kepada lawan berkenaan dan kali ini, cabarannya tetap sama biarpun hampir mencipta kejutan dalam set pertama.
Advertisement
Tidak pernah mendahului sejak awal saingan, sedikit demi sedikit, Arif dan Roy King merapatkan kedudukan untuk pada satu ketika terikat 12-12 dan mendahului 18-17.
Bagaimanapun, mereka kemudian membenarkan lawan memperoleh empat mata berturut-turut untuk akur tewas set pertama 18-21.
Arif dan Roy King mempamerkan permulaan pantas untuk mendahului pada awal set kedua tetapi selepas kedudukan terikat 8-8, mereka tidak lagi mampu bersaing untuk akhirnya tewas 11-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 39 minit.