Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan apabila mudah mengatasi gandingan tuan rumah, Jin Sung Ik-Lee Seung Hee, di Stadium Jinnam sebentar tadi.
Biarpun turun dengan status bukan pilihan, pasangan negara itu menguasai penuh permainan sejak dari awal, di mana mereka sentiasa berada di depan sejak mata pertama sebelum selesa memenangi set pembukaan 21-8.
Pang Ron dan Pei Jing, bagaimanapun, berdepan sedikit tentangan pada awal set kedua tetapi selepas mengikat kedudukan 10-10, mereka tidak lagi menoleh ke belakang untuk mencatatkan kemenangan 21-15 selepas secara keseluruhan bertarung selama 32 minit.
Menanti mereka bagi penentuan ke separuh akhir esok ialah gandingan pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.