Misi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk memburu kejuaraan kedua dalam Jelajah Dunia BWF musim ini tidak kesampaian apabila langkah mereka terhenti di separuh akhir Terbuka Korea 2026.
Berhadapan gandingan tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho, pasangan negara memberikan tentangan sengit sebelum akur tewas dalam aksi dua set, 17-21, 16-21.
Pertemuan itu menjadi peluang buat Man-Wei Chong memperbaiki rekod pertemuan dengan gandingan Korea Selatan berkenaan yang sebelum ini memihak lawan, 6-0.
Bagaimanapun, harapan untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila Seo-Kim sekali lagi membuktikan keunggulan mereka, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 7-0.
Man-Wei Chong memulakan permainan dengan keyakinan tinggi apabila berjaya mendahului pada peringkat awal set pertama.
Namun, Seo-Kim segera menyamakan kedudukan sebelum kedua-dua pasangan saling bersilih ganti mengutip mata dalam aksi sengit menuju interval.
Ketika permainan semakin memuncak, gandingan Korea Selatan itu mula menguasai gelanggang selepas meraih mata ke-18 sebelum meluru untuk mengesahkan kemenangan set pertama 21-17.
Skrip hampir sama berulang pada set kedua apabila Man-Wei Chong sekali lagi tampil agresif untuk mendahului permainan.
Bagaimanapun, Seo-Kim berjaya merapatkan jurang sebelum mengambil alih kawalan perlawanan dan mula meninggalkan pasangan negara.
Man-Wei Chong cuba mengekori lawan dengan rapat bagi mencari ruang kebangkitan, namun percaturan mereka kurang menjadi apabila ketinggalan lima mata.
Seo-Kim akhirnya menutup set kedua 21-16 untuk mengesahkan tiket ke final di hadapan penyokong sendiri.
Kekalahan itu menyaksikan hasrat Man-Wei Chong untuk menambah koleksi kejuaraan musim ini terpaksa ditangguhkan, manakala kemarau gelaran Malaysia di Terbuka Korea dalam kategori beregu lelaki turut berterusan.
Untuk rekod, wakil negara kali terakhir muncul juara Terbuka Korea pada 2024 menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Dua tahun sebelumnya, gelaran beregu campuran turut menjadi milik Malaysia menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.