Beregu lelaki negara, Kang Khai Sing-Aaron Tai dan Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao, bakal berentap esok untuk menentukan gelaran Kejohanan Badminton Terbuka India.
Khai Sing-Aaron lolos selepas menewaskan beregu Russia, Rodian Alimov dan Maksim Oglobin, secara straight set, sebentar tadi, bagi menempah tiket perlawanan akhir dengan rakan senegara, Wei Jie-Sheng Hao, yang turut menyingkirkan rakan sepelatih, Faiq Masawi-Lok Hong Quan 21-5, 16-21, 21-17.
Advertisement
Kai Sing-Aaron bermula garang pada awal permainan untuk mendahului 7-2 dan gandingan negara itu terus memperagakan corak menyerang untuk mendahului di pertengahan set pertama.
Gandingan muda negara tersebut terus mencorak permainan agresif dan pantas untuk mengungguli set pertama 21-15.
Dalam set berikutnya, kebangkitan cuba dijelmakan gandingan Russia apabila mengikat wakil Malaysia itu 10-10 sebelum kesilapan merencatkan usaha mereka.
Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Khai Sing-Aaron untuk terus memperkemaskan corak permainan sebelum menoktahkan kemenangan 22-20.
Dalam masa sama, cubaan Ong Xin Yee–Carmen Ting untuk menghadirkan kejutan ke atas beregu wanita ke-14 dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Treesa Jolly–Gayatri Gopichand Pullela, tidak kesampaian apabila kecundang 11-21, 15-21.
