Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak berdepan tentangan sengit ketika mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Denmark apabila mudah mengatasi gandingan China, Bao Li Jing-Cao Zi Han, di SJF Bank Arena sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kedua, Pearly dan Thinaah mempamerkan penguasaan di peringkat awal set pertama sehingga pada satu ketika jauh mendahului 12-3.
Ketika lawan pilihan keenam itu berhasil merapatkan kedudukan 16-17, gandingan negara itu mendapatkan empat mata berturut-turut untuk memenangi set pertama 21-16.
Skrip hampir sama berulang dalam set kedua tetapi kali ini, mereka langsung tidak membenarkan lawan untuk merapatkan kedudukan sebelum mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-14 selepas secara keseluruhan bertarung selama 37 minit.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara dua beregu Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita dan Sumire Nakade-Miyu Takahashi, bagi penentuan gelaran esok.