Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, mempamerkan aksi melawan sebelum tewas kepada pemain nombor 18 dunia dari China, Weng Hong Yang, dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu sebentar tadi.
Jun Hao, yang berada di ranking ke-27 dunia, bangkit daripada ketinggalan 17-19 untuk memenangi set pertama 22-20.
Bagaimanapun, dia jauh ketinggalan 0-10 dalam set kedua untuk akur ke set penentuan dengan kekalahan 11-21.
Dalam set ketiga Jun Hao kembali mempamerkan aksi terbaiknya untuk mengikat kedudukan 18-18 biarpun ketinggalan pada pertengahan set berkenaan.
Namun, dia membenarkan lawan memperoleh tiga mata terakhir, sekali gus tersingkir dengan kekalahan 18-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 10 minit.