Cabaran perseorangan lelaki negara, Justin Hoh di Terbuka Australia 2026 berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada wakil Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah hari ini.
Justin yang memikul tugas sebagai harapan terakhir Malaysia dalam acara perseorangan lelaki gagal menandingi permainan mantap lawannya yang menguasai perlawanan sejak awal.
Pemain Indonesia berusia 18 tahun itu tampil cukup agresif pada set pertama apabila mendahului 16-5 sebelum menutup permainan dengan kemenangan selesa 21-7.
Situasi sama berulang pada set kedua apabila Ubaidillah terus mengawal rentak permainan dan memaksa Justin ketinggalan lapan mata pada satu ketika.
Walaupun pemain negara itu berjaya merapatkan jurang kepada 13-18 hasil kebangkitan di pertengahan permainan, Ubaidillah kembali memperkemaskan aksinya dengan memungut tiga mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan 21-13 dalam masa 38 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Ubaidillah melangkah ke separuh akhir, manakala Justin terpaksa menangguhkan impiannya untuk mencipta pencapaian terbaik dalam kejohanan tersebut.
Sementara itu, perjalanan cemerlang beregu wanita negara, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan turut berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari.
Pasangan muda negara yang menghuni ranking ke-84 dunia itu memberikan tentangan sengit namun akhirnya akur tewas 13-21, 17-21 dalam tempoh 43 minit di Quaycentre, Sydney.
Pertemuan tersebut merupakan yang pertama antara kedua-dua pasangan dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500.
Pengalaman jelas memihak kepada pasangan Indonesia yang berada di ranking ke-15 dunia serta hadir dengan reputasi sebagai naib juara Terbuka Australia tahun lalu dan pemenang pingat perak Sukan SEA.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak menjejaskan penilaian positif terhadap prestasi Zi Yu-Noraqilah yang mencipta kejutan sepanjang kejohanan.
Pasangan muda negara itu berjaya mencuri perhatian apabila menewaskan dua pasangan daripada kelompok 10 terbaik dunia, termasuk gandingan Jepun yang menghuni ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi.
Pencapaian tersebut dianggap cukup membanggakan memandangkan Terbuka Australia hanyalah kejohanan kedua yang disertai mereka sejak digandingkan sebagai pasangan tetap.
Sebelum ini, Zi Yu dan Noraqilah tersingkir seawal pusingan pertama di Malaysia Masters 2026 bulan lalu.
Meskipun langkah mereka terhenti di suku akhir, persembahan dipamerkan di Sydney memberi petanda positif bahawa Malaysia memiliki satu lagi pasangan muda berpotensi besar untuk digilap sebagai sandaran masa depan dalam acara beregu wanita.