Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum menghantar permohonan untuk menaturalisasikan pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Shane Lowry.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata permohonan pemain berusia 37 tahun itu masih belum dihantar kerana Lowry masih mengalami kecederaan.
"Shane Lowry kami masih belum mohon kerana dia cedera, jadi kami tidak mohon," katanya dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM di ibu negara sebentar tadi.
"Kami hanya mohon tiga pemain sahaja iaitu Manuel Hidalgo, Bergson dan Brad Tapp.
"Mereka sempat untuk bermain dalam Piala ASEAN FIFA."
Terdahulu, Noor Azman turut mengesahkan bahawa Hidalgo telah mendapatkan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili negara semalam.
Dia akan menyertai dua pemain naturalisasi dan warisan baharu Harimau Malaya, iaitu Bergson dan Tapp.
Malaysia akan memulakan kempen Piala ASEAN FIFA dengan menentang Bangladesh pada 25 September ini di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta sebelum bertemu tuan rumah, Indonesia, dan Singapura bagi aksi Kumpulan A.