Filem “Terbang” tampil membawa sebuah kisah inspirasi yang mengangkat perjalanan luar biasa legenda rali negara, Karamjit Singh, dalam usahanya mencabar segala batasan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan permotoran antarabangsa.
Dijadual menemui penonton di seluruh negara bermula 17 September depan, filem itu diarahkan oleh pengarah tersohor, Chiu Keng Guan, yang terkenal menerusi karya-karya bercorak kekeluargaan dan perpaduan yang dekat dengan hati rakyat Malaysia.
'Terbang' menjanjikan pengalaman sinematik penuh aksi menerusi visual yang bertenaga dan dinamik, menggambarkan kelajuan, cabaran serta semangat juang seorang atlet yang enggan mengenal erti putus asa.
Lebih daripada sekadar filem sukan, karya itu turut menyelami perjalanan emosi seorang anak Malaysia yang sanggup berkorban untuk mengejar impian, sekali gus mengangkat nama negara di persada dunia.
Mengekalkan identiti penceritaan yang menjadi kekuatan Chiu Keng Guan, 'Terbang' menggabungkan elemen inspirasi, nilai kemanusiaan dan semangat patriotisme dalam sebuah naskhah yang dijangka memberi kesan mendalam kepada penonton.
Melalui kisah benar Karamjit Singh, Terbang diharap bukan sahaja mengimbau kegemilangan sukan permotoran negara, malah menjadi suntikan semangat kepada generasi baharu untuk berani mengejar impian serta membuktikan bahawa tiada kejayaan yang mustahil dicapai dengan usaha, keberanian dan keazaman.