Mengangkat kisah kebangkitan daripada titik terendah dalam hidup bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri perfileman.
Sentuhan sutradara menyingkap tabir trauma di titik terendah kehidupan, memaparkan keperitan perjalanan sebelum era kebangkitan kini dizahirkan pula melalui filem terbaharu "Terbang".
Advertisement
Mengambil inspirasi daripada kisah kebangkitan legenda rali negara, Karamjit Singh, "Terbang" menampilkan kisah wira permotoran negara yang pernah berdepan detik paling gelap dalam kerjaya sebelum kembali menggegarkan litar antarabangsa.
Menurut pengarahnya, Chiu Keng Guan, naskhah ini bukan sekadar tentang perlumbaan, tetapi tentang kepercayaan terhadap diri sendiri.
"Kita semua mempunyai had, tetapi intipati sebenar filem ini adalah bagaimana kita mencabar had tersebut untuk mencapai sesuatu," katanya.
Penceritaan filem ini memfokuskan kepada watak utama, Ajeet, yang perlu melawan trauma ngeri akibat kemalangan dahsyat demi membuktikan bahawa kegagalan bukanlah noktah terakhir.
Ia adalah sebuah penghormatan kepada semangat manusia yang enggan menyerah kalah, sekali gus menjadi naskhah wajib tonton yang sarat dengan elemen emosi dan inspirasi.
Sementara itu, insan sebenar di sebalik kisah inspirasi ini, Karamjit Singh, menyifatkan "Terbang" sebagai sebuah karya yang membanggakan dengan 60 peratus jalan ceritanya adalah adaptasi daripada realiti hidup beliau.
Baginya, filem ini turut menonjolkan semangat patriotik melalui kehebatan pasukan teknikal dan pemandu tempatan yang mampu bersaing di persada dunia.
Keng Guan dan Karamjit ditemui pemberita pada majlis Terbang Rumah Terbuka Raya yang berlangsung, di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut memperkenalkan barisan pelakon utama "Terbang" termasuk Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, dan Diana Danielle.
Selari dengan tema tenaga dan keberanian, "Terbang" turut mengumumkan kolaborasi strategik bersama jenama STING sebagai rakan rasmi, yang bakal merangkumi kempen digital eksklusif serta aktiviti interaktif bersama peminat di media sosial.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan Aventure Space, filem ini mendapat sokongan padu rakan strategik utama seperti U Mobile, Proton, PETRONAS, EON, serta Malaysian Aviation Group (MAG).
"Terbang" dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara tahun ini.