Teoh Mei Sing percaya dia berkemampuan gandingan mantap meski diselubungi keputusan mengejut Go Pei Kee untuk berpisah.
Mei Sing, 29 tahun, mengakui sedikit kecewa kerana Pei Kee tidak memberitahunya secara langsung apatah lagi berbincang terlebih dahulu, sebaliknya terus memaklumkan kepada ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak.
Advertisement
"Saya terkejut apabila diberitahu oleh jurulatih. Saya tidak sedar (terlepas pandang) sekiranya ada perkara yang mahu diluahkannya.
"Saya sudah berpesan kepadanya jika saya tidak bagus, beritahu sahajalah.
"Saya kini serahkan kepada jurulatih. Saya pernah bertukar beberapa gandingan dan kami sering memasuki 20 terbaik.
"Ia bukan masalah soal kemampuan saya. Kalau saya buat yang terbaik, pasti ranking saya akan naik semula (bersama gandingan baru)," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Dia bakal digandingkan dengan Tan Zhing Hui dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Singapura yang berlangsung 24 Februari hingga 1 Mac serta Siri Antarabangsa Singapura di antara 3 hingga 8 Mac depan.