Skip to main content

Bola Sepak

Tempoh pinjaman hampir berakhir, Onana mahu kembali perkuat Man United

Tempoh pinjaman hampir berakhir, Onana mahu kembali perkuat Man United

Penjaga gol Cameroon, Andre Onana, dilaporkan masih menyimpan hasrat untuk kembali merebut tempat di Manchester United meskipun kini dipinjamkan ke kelab Turkiye, Trabzonspor bagi musim 2025/26.

Onana berpindah secara pinjaman pada awal musim di bawah kendalian Ruben Amorim, susulan keputusan kelab membawa masuk penjaga gol baharu, Senne Lammens.

Advertisement

Lammens menyertai United daripada Royal Antwerp pada hari terakhir jendela perpindahan September lalu.

Walaupun beraksi cemerlang di Turkiye dengan 20 penampilan setakat ini, prestasi Onana mungkin tidak banyak mempengaruhi perancangan United memandangkan Lammens tampil meyakinkan sebagai penjaga gol nombor satu baharu.

Penjaga gol Belgium itu telah memulakan 21 perlawanan berturut-turut di bawah Amorim, Darren Fletcher dan Michael Carrick.

Setakat ini, Lammens mencatat lima aksi tanpa bolos dan menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan yang semakin stabil di bawah bimbingan Carrick. Dalam hierarki penjaga gol, Altay Bayindir kini berperanan sebagai pilihan kedua, manakala penjaga gol berpengalaman Tom Heaton terus menjadi sebahagian daripada skuad.

Onana ditandatangani dari Inter Milan oleh bekas pengurusnya di Ajax, Erik ten Hag, dan masih mempunyai baki kontrak dua tahun di Old Trafford. Sepanjang bersama United, dia telah membuat 72 penampilan.

Menurut bekas bintang Cameroon dan Chelsea, Geremi Njitap, Onana masih percaya dia mampu mengubah nasibnya di Manchester dan kembali bersaing untuk tempat utama.

Dengan kehadiran Carrick serta kebangkitan prestasi pasukan, masa depan Onana kini bergantung kepada sejauh mana beliau mampu meyakinkan pengurusan bahawa dirinya masih relevan dalam projek baharu United musim depan.

"Saya kenal Andre dengan baik dan semasa dia di United terdapat banyak perkara yang tidak kena,” katanya kepada Telecom Asia.

“Bukan dia sahaja. Dan percayalah, dengan ketibaan Michael Carrick, keadaan kelihatan baik untuk semua orang, termasuk dia.

“Cukup jelas dia adalah pemain yang berbakat dan bakatnya jarang ditemui. Perkara seterusnya ialah dia kembali ke sana dan berjuang untuk tempatnya. Andre sentiasa cemerlang apabila berhadapan dengan cabaran. Dia berkembang maju apabila diberi peluang yang adil untuk membuktikan dirinya.”

Must Watch Video