Presiden LaLiga, Javier Tebas, melancarkan kritikan terbuka terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, susulan beberapa keputusan badan induk bola sepak dunia itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan negara dan organisasi bola sepak di Eropah.
Menerusi satu kenyataan di platform X, Tebas mendakwa tindakan FIFA kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan tadbir urus badan tersebut.
Menurutnya, dalam tempoh kurang sebulan, Infantino mengeluarkan 'kad merah' atas dakwaan campur tangan politik, selain berdepan desakan daripada Kongres Amerika Syarikat supaya menjelaskan mengapa FIFA menggugurkan tindakan terhadap beberapa bekas pegawai yang sebelum ini disabitkan dalam kes rasuah.
Tebas turut mempersoalkan rancangan FIFA untuk memperuntukkan lebih ASD10 bilion kepada pembangunan bola sepak, termasuk tambahan ASD20 juta kepada setiap persatuan bola sepak kebangsaan, di samping cadangan membawa masuk pelabur sektor swasta ke dalam hak komersial serta pertandingan anjuran FIFA.
Dia menyifatkan langkah tersebut bukan sebagai usaha pembaharuan, sebaliknya lebih menyerupai kempen politik.
“Ini bukan pembaharuan. Ia kelihatan seperti kempen pilihan raya yang dibiayai menggunakan masa depan bola sepak,” katanya.
Menurut Tebas lagi, pembangunan bola sepak tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan atau membungkam suara pengkritik.
“Pembangunan tidak boleh digunakan untuk membeli undi atau menutup mulut pihak yang tidak bersetuju. Pertandingan dan hak komersial FIFA bukan harta peribadi Infantino.”
Tebas mengakhiri kenyataannya dengan kritikan paling keras terhadap presiden FIFA itu.
“Sesiapa yang mencampuradukkan politik, tindakan disiplin, wang dan pengaruh tanpa ketelusan tidak layak memimpin apa-apa. Infantino bukan penyelesaian kepada masalah tadbir urus FIFA, sebaliknya beliau adalah masalah itu sendiri.”
Kenyataan Tebas hadir ketika FIFA berdepan kritikan berhubung cadangan menubuhkan entiti pelaburan baharu bagi menarik dana daripada sektor swasta ke dalam hak komersial dan pertandingan di bawah kelolaannya.
Menurut beberapa laporan media antarabangsa, cadangan tersebut turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan negara anggota UEFA, malah terdapat spekulasi bahawa beberapa negara Eropah sedang mempertimbangkan untuk memboikot Piala Dunia sebagai tanda bantahan terhadap cara Infantino mengurus FIFA.
Sekiranya ketegangan ini berterusan, ia berpotensi mencetuskan satu lagi krisis besar dalam landskap bola sepak antarabangsa, khususnya melibatkan hubungan antara FIFA dan badan-badan bola sepak di Eropah.
En escasamente un mes Gianni Infantino retira una tarjeta roja bajo "sospecha"de intervención política.
Después, un requerimiento del Congreso de EE. UU para aclarar retirada de acusaciones por parte de FIFA,de ex miembros de FIFA condenados por corrupcion, entre otras cosas… pic.twitter.com/wkfN0HnWTx— Javier Tebas Medrano (@Tebasjavier) July 29, 2026