Skip to main content

Advertisement

Berita Sukan Am

Taufiq Johari kongsi persiapan menjelang Sukan SEA 2027

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Taufiq Johari kongsi persiapan menjelang Sukan SEA 2027

Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari memberikan perkongsian terperinci mengenai usaha Malaysia menghadapi Sukan SEA 2027 serta beberapa kejohanan antarabangsa akan datang.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan penghargaan atas pencapaian cemerlang kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA 2025 apabila Malaysia berjaya memungut 231 pingat, melebihi sasaran 200 pingat.

Advertisement

"Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan atlet yang berstruktur hasil kerjasama erat antara KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

"Untuk makluman, pencapaian ini juga merupakan prestasi terbaik negara bagi penganjuran temasya di luar negara sejak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, iaitu 216 pingat.

"Bagi memastikan prestasi ini berterusan dan meningkat, KBS melalui MSN telah memulakan persiapan ke arah Temasya Sukan SEA 2027 bermula tahun ini, termasuk sesi libat urus bersama semua PSK pada 6 Januari 2026 bagi menyelaras hala tuju latihan dan program prestasi tinggi.

"Persiapan atlet dirangka dalam tiga (3) fasa, Fasa 1, daripada Januari hingga Disember 2026: pemilihan dan pengenalpastian atlet berpotensi serta sokongan latihan mengikut keperluan prestasi; Fasa 2, daripada Januari hingga Mei 2027: pemerkasaan dan peningkatan prestasi melalui latihan berintensiti tinggi dan pendedahan pertandingan kompetitif; dan Fasa 3, daripada Jun hingga September 2027: latihan sepenuh masa secara intensif untuk memastikan kesiapsiagaan menjelang temasya.

"Bagi penganjuran Sukan SEA tahun hadapan, pada 18 hingga 29 September 2027, pelaksanaan akan melibatkan empat (4) kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

"Senarai awal melibatkan 38 jenis sukan telah diumumkan, dengan agihan mengikut kluster; manakala proses rayuan bagi sukan yang belum tersenarai telah dibuka bermula 8 Disember 2025 hingga Mac 2026 dan akan diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA 2027. Kementerian optimis kontinjen negara mampu meningkatkan kedudukan sehingga tiga (3) teratas pada Sukan SEA 2027 berbanding edisi 2025.

"Dalam masa yang sama, bagi acara yang lebih besar, MSN akan meneruskan pelaksanaan Program ASIAKOM yang memfokuska persiapan atlet ke arah Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

"Program ini memberi tumpuan kepada atlet berpotensi pingat dengan sokongan yang lebih tertumpu, termasuk pendekatan pembangunan yang lebih bersasar mengikut keperluan atlet.

"Bagi memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik, Program Road to Gold (RTG) akan diteruskan sebagai inisiatif strategik negara ke arah Sukan Olimpik 2028. RTG menumpukan kepada atlet elit yang berada pada tahap ranking terbaik dunia dengan sokongan menyeluruh meliputi latihan, pertandingan, sains sukan, perubatan sukan dan kebajikan. Bagi memastikan persiapan awal dapat dilaksanakan secara berfasa, Kerajaan telah memperuntukkan RM12 juta bagi RTG pada tahun 2026.

"Selain aspek prestasi fizikal, KBS turut menekankan kesejahteraan mental atlet melalui program pemerkasaan mental, motivasi dan kenegaraan dengan kerjasama strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bagi membina ketahanan mental, disiplin, jati diri dan semangat patriotisme sebagai pelengkap kepada agenda sukan berprestasi tinggi negara."

Must Watch Video