Bekas pemain Liverpool, Jordon Ibe terlepas hukuman penjara selepas didapati bersalah menyerang bekas teman wanitanya dalam satu pertengkaran di selatan London.
Ibe, 30, dijatuhi perintah khidmat masyarakat selama 12 bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan menyerang seseorang sehingga menyebabkan kecederaan fizikal sebenar.
Bekas pemain antarabangsa remaja England itu turut diarahkan melakukan 80 jam kerja tanpa bayaran dan menyertai 27 hari aktiviti pemulihan.
Mahkamah juga mengenakan denda sebanyak GBP764 (RM4,176).
Kes berkenaan berlaku Disember lalu di kawasan Lambeth selepas bekas pasangannya, Emmy Mason, meminta Ibe memulangkan wang yang didakwa masih terhutang kepadanya.
Menurut laporan BBC, pertengkaran itu menjadi tegang selepas Mason menuduh Ibe sebagai penagih dadah.
Ibe kemudian menarik rambut wanita terbabit sehingga sehelai bahagian rambut tercabut dan meninggalkan kesan botak pada kepalanya.
Polis Metropolitan mengesahkan Ibe ditahan di Lapangan Terbang Luton pada Januari berkaitan kejadian berkenaan.
Dia kemudiannya didakwa pada Februari sebelum mengubah pengakuannya pada Julai dan mengaku bersalah.
Ketika prosiding hukuman, Ibe yang mewakili dirinya sendiri mengakui melakukan kesilapan besar dan melahirkan rasa kesal terhadap perbuatannya.
Ibe kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan kelab Bulgaria, Lokomotiv Sofia pada Jun lalu.
Beliau memulakan karier di akademi Charlton Athletic sebelum menyertai Wycombe Wanderers dan kemudian berpindah ke Liverpool pada 2012.
Ibe membuat 58 penampilan bersama skuad utama Liverpool, selain dipinjamkan ke Birmingham City dan Derby County.
Ibe menyertai Bournemouth pada 2016 dan membuat 119 penampilan Liga Perdana Inggeris sepanjang tempoh bersama kelab itu serta Liverpool.
Kariernya kemudian merosot ke saingan liga bukan profesional apabila menyertai Ebbsfleet United pada 2023 sebelum melalui beberapa perpindahan singkat dan akhirnya beraksi di Bulgaria.