Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam satu hantaran media sosial hari ini memaklumkan bahawa dia dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan BAM, Datuk Ng Chin Chai, melawat dan memberikan sumbangan ikhlas buat buat legenda badminton wanita negara, Datuk Sylvia Ng.
Lawatan itu dibuat dalam konteks laporan media berkaitan isu ganjaran Olahragawan dan Olahragawati Negara yang tidak diterima melibatkan beberapa atlet dari pelbagai sukan, termasuklah bagi tahun 1975 dan 1978.
Advertisement
"Tanpa pengorbanan legenda-legenda badminton silam, badminton Malaysia tidak akan maju seperti hari ini," katanya dalam hantaran berkenaan
"Saya dan Datuk Ng Chin Chai, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan BAM, berbesar hati dapat bertukar-tukar cerita dengan legenda badminton negara, Datuk Sylvia Ng, pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan Komanwel 1978 dan pingat emas beregu campuran Sukan Asia 1970.
"Mungkin ramai generasi muda hari ini tidak mengenali beliau, namun Datuk Sylvia merupakan antara pelopor kejayaan badminton wanita Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an.
"Beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi pingat emas perseorangan badminton Sukan Komanwel, dan juga atlet wanita Malaysia pertama meraih emas dalam sejarah Sukan Komanwel di Edmonton, Kanada pada 1978.
"Sumbangan beliau turut diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1975 dan 1978."
Tengku Zafrul menambah: "Walaupun perkara ini di luar bidang kuasa BAM, sebagai tanda pengiktirafan terhadap khidmat dan legasi Datuk Sylvia kepada sukan negara, BAM menyampaikan sumbangan khas sebagai tanda penghormatan dan penghargaan.
"Semoga legasi Datuk Sylvia terus menginspirasikan generasi muda untuk menghargai sejarah, menghormati perintis, dan meneruskan perjuangan mengharumkan nama Malaysia.
"Legasi tidak diukur dengan pingat semata-mata, tetapi dengan laluan yang dibuka untuk generasi seterusnya."