Petarung muay thai negara, Ridfean Masdor, yang menerima kontrak bernilai AS$100,000 (kira-kira RM413,719) daripada ONE Championship berkongsikan tidak bermakna dia akan menerima keseluruhan jumlah kontrak itu secara langsung.
Rifdean menjelaskan perkara itu sebelum pertarungannya menentang jaguh Jepun merangkap Juara Dunia ONE Atomweight Muay Thai, Nadaka Yoshinari, dengan menegaskan jumlah berkenaan bukan pendapatan bersih yang akan dibawanya pulang. Kos pengurusan, latihan dan pelbagai perbelanjaan lain perlu diambil kira, menyebabkan jumlah sebenar yang diterima tidak mencecah AS$100,000.
Penampilan Rifdean di Jepun berakhir dengan kekecewaan apabila dia tewas kepada Nadaka dengan keputusan 'knockout' (KO), serta turut dilaporkan gagal ujian hidrasi sebelum pertarungan. Keadaan itu mengakibatkan pertarungan tersebut tidak mempertaruhkan tali pinggang kejuaraan yang disandang Nadaka.
Lebih mencuri perhatian, Ridfean turun ke Jepun tanpa pasukan pengiringnya sendiri, termasuk jurulatih dan 'cornerman' yang lazimnya membantu petarung membuat persediaan serta memberikan arahan ketika pertarungan berlangsung.
Situasi itu membuka perbincangan mengenai cabaran sebenar seorang petarung profesional, apabila nilai kontrak yang besar tidak semestinya menggambarkan pendapatan bersih atau menjamin persediaan pertandingan yang ideal. Selain kemampuan di gelanggang, aspek pengurusan kewangan, persiapan fizikal dan sokongan pasukan turut memainkan peranan penting dalam perjalanan karier seseorang atlet.
Kontroversi yang dicetuskan Rifdean ini juga tidak dipandang ringan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) One Championship, Chatri Sityodtong, yang mengkritik persiapan Rifdean menjelang perlawanan berkenaan. Chatri menekankan kepetingan untuk sentiasa bersikap profesionalisme dalam diri setiap petarung bagi menghadapi sebarang perlawanan.
“Tidak semestinya jika kontrak yang saya dapat $100,000, saya akan dapat 100 peratus jumlah tersebut. Saya perlu berkongsi duit itu dengan banyak pihak lagi.
“Bayaran yang diberikan One Championship kepada para petarung agak lewat. Ini kerana mereka mahu mengelak daripada sebarang risiko seperti penarikan diri dan sebagainya." katanya seperti yang tular di laman media sosial.