Persiapan Iran ke Piala Dunia FIFA 2026 terus berdepan cabaran besar di luar padang apabila laporan antarabangsa mendedahkan beberapa sekatan ketat berkaitan visa dan peraturan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS) menjelang kejohanan berprestij itu.
Menurut laporan Daily Mail, skuad Iran dilaporkan telah dimaklumkan bahawa mereka hanya dibenarkan memasuki US pada hari perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam selepas aksi tamat, satu syarat yang dianggap luar daripada kebiasaan bagi pasukan bertanding di pentas dunia terbesar itu.
Situasi itu berlaku walaupun skuad kebangsaan Iran dilaporkan telah berjaya memperoleh visa untuk memasuki Amerika Syarikat dan Mexico selepas menjalani kem latihan di Antalya, Turki serta proses permohonan di kedutaan Amerika di Turki.
Bagaimanapun, laporan media Iran mendakwa sekurang kurangnya 12 pegawai pasukan termasuk pengurusan kanan dan pegawai media tidak menerima kelulusan visa, sekali gus menjejaskan struktur pentadbiran pasukan menjelang kejohanan.
Persekutuan Bola Sepak Iran menyifatkan keadaan itu sebagai keputusan yang bersifat politik dan tidak selari dengan semangat sukan antarabangsa.
“Ini merupakan tindakan yang tidak berunsur sukan dan jelas bersifat politik yang menyasarkan struktur pengurusan pasukan kebangsaan Iran,” menurut kenyataan rasmi badan bola sepak negara itu.
Mereka turut menegaskan bahawa isu berkenaan akan dibawa kepada FIFA bagi mendapatkan penyelesaian segera, sambil mendesak badan induk bola sepak dunia itu memainkan peranan lebih tegas dalam memastikan semua pasukan bertanding mendapat layanan yang sama rata.
Dalam pada itu, kedutaan Iran di Turki turut menyuarakan kebimbangan terhadap proses kelulusan visa yang dianggap tidak konsisten, terutama melibatkan pegawai pentadbiran dan penasihat teknikal yang penting kepada operasi pasukan.
Di pihak US, laporan menunjukkan sebahagian permohonan visa ditolak atas alasan keselamatan, termasuk kebimbangan terhadap latar belakang individu tertentu yang pernah dikaitkan dengan pasukan keselamatan negara Iran.
Pegawai Amerika turut menegaskan bahawa semua proses saringan dilakukan mengikut protokol keselamatan yang ketat bagi memastikan keselamatan kejohanan dan negara tuan rumah terjamin.
Walaupun berdepan kekangan tersebut, Iran tetap meneruskan persiapan akhir dengan menjadikan Mexico sebagai pangkalan sementara sebelum beraksi dalam perlawanan kumpulan yang berlangsung di beberapa bandar di Amerika Syarikat termasuk Los Angeles dan Seattle.