Pemain Terbaik Perlawanan Piala FA 2025, Manuel Hidalgo, memberi bayangan bakal menjadi pemain tempatan menjelang 2026 selepas hampir lima tahun berkelana sebagai import di Malaysia.
Sensasi pemain kelahiran Argentina itu memainkan peranan cukup penting tatkala membelah lautan pertahanan Sabah, dan sering mengatur gerakan berbahaya dengan gelecekan dan kepintarannya.
Advertisement
Sebelum perlawanan tamat, bekas tonggak Kuala Lumpur (KL) City itu sempat mengukir namanya selaku penjaring terakhir Harimau Selatan sebelum Johor Darul Ta'zim (JDT) bergelar juara buat kali keempat berturut-turut.
Ketika ditemu bual oleh Astro Arena, Hidalgo menyatakan keinginan untuk terus mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Xisco Munoz, selain memberi bayangan istimewa memandangkan namanya juga sudah cukup terkenal dalam Liga Malaysia (Liga-M).
"Saya sangat gembira jika saya dipilih dalam kesebelasan utama.
"Saya tahu, saya sedang bersaing dengan beberapa pemain hebat dalam skuad.
"Tahun hadapan, berkemungkinan saya akan mendaftar selaku pemain lokal, dan menerima pasport berikutan tempoh lima tahun saya di Malaysia.
"Saya harus bersabar," katanya.
Ketika ini, Hidalgo berusia 26 tahun. Meskipun bertubuh kecil, tetapi kepantasannya menawarkan persembahan memukau di bahagian sayap.
Hidalgo mula berkecimpung dalam Liga Super bermula 2021 dengan permulaan bersama Sri Pahang sebelum menyertai Kedah pada 2023.