"Kami perlu step-up.
Itu apa yang diinginkan ketua jurulatih berbasikal para negara, Rizal Tisin, yang melihat tahun 2026 sebagai pentas tumpuan dan bukan sekadar untuk pendedahan sahaja.
Advertisement
Dengan dua temasya besar seperti Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Komanwel Glasgow dijadual berlangsung beberapa bulan lagi, Rizal berharap anak buahnya akan meningkatkan momentum untuk mencuba mengatasi keputusan dalam Sukan Para ASEAN tempoh hari.
"Secara jujurnya, kami mengetahui tahap kami sewaktu kejohanan dwitahunan itu.
"Kami sudah membuktikannya. Cuma, menuju pertandingan peringkat Asia memerlukan kerja lebih lagi.
"Saya harap mereka terus meningkatkan momentum. Persaingan dua kejohanan sangat berbeza," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Rizal juga mengakui faktor paling penting dalam membawa skuad berbasikal para ini adalah psikologi kerana ia bakal menjadi aspek utama dalam membentuk barisan pelumba sepanjang tahun ini.
"Kebanyakan atlet baru sangat gemuruh.
"Saya harap pendedahan lebih dapat membantu mereka mengurangkan tekanan," tambahnya.